Pendidikan pemulihan di
negara kita bermula sejak tahun enam puluhan. Titik tolaknya ialah tinjauan
keperluan pengajaran pemulihan yang diadakan pada tahun 1967. Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) mengadakan tinjauan itu di sembilan buah sekolah.
Tinjauan itu berterusan hingga tahun 1970.
Pada bulan Ogos 1975, KPM
menganjurkan seminar pengajaran pemulihan untuk pengurus dan guru sekolah
rendah. Pada tahun 1975 juga, KPM menghantar empat orang pegawai pendidikan
mengikuti kursus dalam bidang pengajaran pemulihan di luar negara. Pada tahun
1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas melatih 55 orang guru sekolah rendah untuk
menjadi guru khas pemulihan. Pada tahun yang sama, MPIK mengadakan seminar
pengajaran pemulihan untuk 50 orang pensyarah maktab perguruan.
Selain itu, pada tahun 1972
hingga 1981, KPM melaksanakan Projek Pendidikan Imbuhan untuk 12 buah sekolah
rendah. Projek itu bertujuan mengenal pasti masalah pengajaran dan pembelajaran
pemulihan murid-murid tahun satu hingga tahun tiga.
Pada tahun 1979, Laporan
Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran memperakukan supaya
sekolah mengadakan ujian rujukan kriteria. Dengan berdasarkan dapatan ujian
itu, pihak sekolah perlu melakukan tindakan penambahbaikan. Tindakan itu
termasuklah penggunaan kaedah dan sumber pengajaran yang sesuai dalam kelas
yang lebih kecil. KPM pula perlu menyediakan guru yang mampu mengendalikan
pengajaran pemulihan.
Mulai tahun 1980, Kurikulum
Baru Sekolah Rendah (KBSR) melaksanakan perakuan yang berkenaan. KBSR
mengetengahkan konsep 5P, iaitu penggabungjalinan, penyerapan, penilaian
berterusan, pemulihan dan pengayaan. Hal ini jelas memperlihatkan pemulihan
merupakan satu daripada unsur istimewa KBSR.
Mulai tahun 1986, KPM
mengarahkan semua sekolah rendah di negeri yang mempunyai guru khas pemulihan
agar melaksanakan program pemulihan di sekolah masing-masing. Arahan itu
membayangkan bahawa pelaksanaan program sebelumnya adalah pada tahap yang tidak
memuaskan. Antara sebabnya ialah kerajaan tidak berupaya menyediakan guru khas
pemulihan yang mencukupi untuk semua sekolah rendah.
Pada tahun 1987, hanya
terdapat 4,331 orang guru khas pemulihan berbanding dengan 6,700 buah sekolah
rendah yang memerlukannya. Daripada jumlah itu, kerajaan hanya mampu mewujudkan
2,233 jawatan guru khas pemulihan.
Pada tahun 1997, KPM mengeluarkan
dapatan tinjauan kadar celik huruf selepas enam bulan murid berada dalam tahun
satu. Tinjauan itu menunjukkan hampir 75,000 orang murid belum celik huruf.
Jumlah ini bersamaan dengan 22 peratus daripada keseluruhan murid. Satu sumber
lain (KPM, 1999) menyatakan, antara sepuluh hingga lima belas peratus murid
sekolah masih menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran. Mereka gagal
menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira).
Mulai tahun 1998, program
pemulihan menjadi agenda penting KPM. Antara tindakan KPM ialah melatih guru
Bahasa Melayu untuk melaksanakan pemulihan ringan dalam bilik darjah. Tindakan
lain ialah menambah guru pemulihan khas (GPK) yang mampu mengendalikan pemulihan berat.
Selain itu, pada bulan November
1998, KPM memulakan usaha untuk menghasilkan buku panduan bagi melaksanakan
program pemulihan khas. Buku itu terbit pada tahun 1999. Buku itu menjadi
sumber penting GPK dan guru Bahasa
Melayu.
Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan ada mencatatkan bahawa pada tahun 2005 sebanyak 4.4 peratus murid
sekolah rendah dan 0.8 peratus pelajar sekolah menengah masih belum menguasai
3M. Peratusan ini termasuk juga pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran.
Jadi, mulai tahun 2006 KPM menambah baik program yang sedia ada dan
melaksanakan program baharu bagi mengurangkan peratusan murid yang tidak menguasai3M
Program terpenting ialah Kelas
Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Program ini bertujuan untuk
membantu murid tahun satu menguasai kemahiran membaca dan menulis. Program ini
dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu.
Usaha lain ialah menambah guru
pemulihan khas melalui program Kursus Perguruan Lepas Ijazah, Kursus Dalam
Perkhidmatan untuk guru sekolah kurang murid dan beberapa kursus jangka pendek
yang lain.
Pada 12 September 2009, akhbar
Berita Harian Online menyiarkan berita bahawa 85,000 orang pelajar tahun satu
di negara kita belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M). Data yang di
bawah pula menunjukkan pencapaian KIA2M tidaklah membanggakan.*
Jadi, bermula pada tahun 2010
Program Literacy and Numeracy Screening (LINUS) menggantikan Program Kelas
Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M). LINUS berkaitan pula dengan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Minister Key Performance Indicators
(MPKI) Kementerian Pelajaran Malaysia menyasarkan bahawa semua murid normal
berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun
mengikuti pendidikANrendah menjelang 2012.